CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, 12 December 2011

Contoh Karangan Peribahasa (Huraian)

Tuliskan sebuah karangan berdasarkan peribahasa “Bersatu Teguh Bercerai Roboh”. Panjang karangan anda hendaklah melebihi 350 patah perkataan.

        “Bersatu teguh bercerai roboh” merupakan satu cogan kata yang dalam maknanya untuk diamalkan oleh manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup. Cogan kata ini menggesa seluruh masyarakat bersatu dan berganding bahu dalam melakukan sesuatu pekerjaan atau menyelesaikan sesuatu masalah supaya mereka dapat hidup dalam suasana yang sejahtera, utuh, dan harmoni. Sebaliknya, jika kita bercerai-cerai, berpecah-belah, dan mementingkan diri sendiri, kita akan mengalami huru-hara dan kehancuran.Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum, kita haruslah menghayati peribahasa ini dengan hidup bersatu padu tanpa mengira bangsa, agama, dan adat resam. Untuk mencapai kemajuan nagara, masyarakat harus hidup dalam suasana aman dan damai.

              Semangat bersatu padu boleh disemai dan dipupuk dalam kalangan jiran tetangga melalui semangat kejiranan, khususnya di kawasan bandar yang semangat kejiranannya dikatakan semakin luntur. Kita yang tinggal di kawasan bandar sering berjauhan dengan keluarga dan kaum kerabat. Jadi, jiranlah yang menjadi saudara mara kita yang terdekat. Melalui hubungan sedemikian, masalah-masalah sosial seperti kecurian dan rompakan dapat dikurangkan. “Jiran sepakat membawa berkat” juga dapat diperhatikan melalui suasana kemesraan, tolong-menolong, dan saling menjaga kebajikan sesama mereka. Semangat gotong-royong, iaitu dengan melakukan kerja secara beramai-ramai juga akan mempererat hubungan sosial antara anggota masyarakat dan seterusnya dapat melahirkan perasaan kekitaan dan kesedaran kebangsaan.

         Selain itu, dengan adanya aktiviti bergotong-royong, masa, tenaga, dan perbelanjaan individu, masyarakat, dan negara dapat dijimatkan. Hal ini juga bermakna, sesuatu kerja berat akan menjadi ringan apabila dilakukan bersama, bak kata pepatah “ berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Dalam bidang pentadbiran, sama ada di sektor swasta atau di sektor kerajaan, semangat bersatu dialam kalangan pekerjanya juga harus dipupuk. Sekiranya semangat ini diabaikan, maka sesebuah organisasi itu tidak akan maju. Hal ini terjadi kerana tidak ada kerjasama antara semua pihak untuk memajukan organisasi tersebut. Jika hanya pihak tertentu sahaja yang bekerja bertungkus lumus, sedangkan pihak yang lain tidak memberi komitmen, maka kejayaan cemerlang tidak akan tercapai. Oleh yang demikian, semangat seperti “aur dengan tebing” perlu dijadikan panduan demi meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.

         Di peringkat nasional, memang tidak dinafikan lagi tentang kepentingan semangat bersatu itu. Misi dan visi yang dirancangkan oleh kerajaan untuk memajukan negara bukan setakat memerlukan kerjasama semua rakyat, malahan kerajaan dan rakyat harus bersatu dan berganding bahu untuk menjayakannya. Usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat tidak akan menjadi realiti, sekiranya tidak ada tindak balas positif daripada rakyat keseluruhannya. Jika segelintir sahaja yang menyahutnya, maka kempen-kempen dan program-program kerajaan seperti inflasi sifar, cintai alam sekitar, budaya membaca, dan lain-lain akan gagal. Tambahan pula, negara sekarang sedang mengalami masalah ekonomi. Oleh sebab itu rakyat harus bersama-sama membantu memulihkan keadaan supaya tidak bertambah teruk. Rakyat dan kerajaan tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana masalah yang melanda negara dirasai bersama-sama.

        Oleh hal yang demikian, dapatlah kita katakan bahawa pepatah “bersatu teguh bercerai roboh” amat penting untuk dijadikan teras dalam mencapai kejayaan. Jika masyarakat berpecah-belah dan bercerai-berai, sudah pasti berbagai-bagai masalah negara akan timbul seperti kes jenayah, pengangguran, kemiskinan, rusuhan kaum, dan lain-lain. Sesungguhnya keadaan sosial yang tidak stabil akan membantut usaha kerajaan untuk memajukan negara. Oleh itu, marilah kita beramal dan berpegang teguh dengan peribahasa “bersatu teguh bercerai roboh” demi kebahagiaan kita semua.

1 comments:

Unknown

TQ

Post a Comment