Dalam komunikasi penulisan, karangan berupa ‘rangkaian perkataan atau ayat’. Kemahiran mengarang melibatkan kemahiran kognitif dan linguistik, termasuk aspek mekanis, proses dan pembaca. Penulisan karangan dianggap aktiviti komunikatif antara penulis dengan pembaca. Dalam situasi pembelajaran di sekolah, semasa menulis, pelajar melakukan proses kognitif seperti berfikir, memberi pandangan dan menilai. Karangan merupakan wahana penting bagi pernyataan diri, untuk pernyataan bahasa dan untuk menemukan makna. Berdasarkan perkembangan media elektronik dalam komunikasi massa, karangan bukan semakin ketinggalan, sebaliknya makin maju. Hal ini demikian kerana mengarang tetap menjadi bahagian penting dalam kurikulum sekolah dan bahagian yang utama dalam pendidikan dan pengajaran bahasa Melayu.
Selain itu, jika dilihat dari sudut fungsi, nilai utama karangan meliputi tujuan pernyataan dan penyedaran diri. Maksudnya, fungsi karangan dalam kurikulum bahasa berupaya mewujudkan dua kelebihan, iaitu untuk menolong pelajar mengenal hakikat bahasa tulisan, lantas mengerti maksud teks. Seterusnya, untuk menolong pelajar berkomunikasi dengan masyarakat yang lebih luas menerusi bahasa tulisan. Melalui pengajaran karangan, diharapkan guru bahasa mampu membantu pelajar meneroka dunia mereka supaya hidup lebih bererti.
Kesimpulannya, melalui laman blog ini diharapkan semua pihak sama ada guru bahasa atau pelajar dapat menimba ilmu pengetahuan baharu dan berkongsi ilmu agar kejayaan dapat dikecapi.
0 comments:
Post a Comment