CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday 21 December 2011

Sila Klik Pautan di Bawah

Contoh-contoh surat kiriman tidak rasmi

Sila Klik Pautan di Bawah

Contoh-contoh surat kiriman rasmi

Wednesday 14 December 2011

Format Karangan Surat Kiriman Tidak Rasmi

CONTOH SOALAN

Seorang sahabat pena anda telah mendapat tahu tentang usaha-usaha gigih Malaysia dalam mengatasi masalah perkauman. Beliau ingin mengetahui dengan lebih lanjut berhubung dengan langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk mengatasi masalah tersebut. Jawab surat sahabat anda itu selengkapnya.


ALAMAT PENGIRIM & TARIKH

110, Taman Kencana,
Jalan Matahari Terang,
O5300 Alor Setar,
Kedah Darul Aman.

24 April 2009


                                                                                              
PEMBUKA KATA
Menemui sahabatku yang diingati, Mohd Ariff semoga berada dalam keadaan sihat selalu hendaknya.


Saudara Mohd Ariff,  >>>>>> KATA GANTI DIRI PENERIMA


       Saya berasa gembira menerima surat daripada saudara dan telah pun memahami isi kandungannya. Seperti yang saudari maklum, kerajaan Malaysia berusaha dengan gigih untuk mengatasi masalah perkauman, namun sebenarnya memupuk perpaduan secara total amatlah rumit. Hal ini demikian kerana Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk dan mereka pula sudah lama diajar hidup berpuak-puak sejak zaman imperialisme dahulu. Tambahan pula, amalan hidup, kepercayaan, adat, dan cara hidup yang berbeza menyebabkan terhalangnya kegiatan hidup bersama.


Saudara Mohd Ariff,


       Selepas merdeka, kerajaan menyedari bahawa wujudnya perpecahan kerana terdapat kegiatan ekonomi mengikut kaum dan sektor. Umpamanya, kaum Cina dengan aktiviti perniagaan, hidup mewah serta tinggal di bandar. Orang Melayu pula terlibat dalam bidang pertanian, miskin, dan tinggal di luar bandar. Manakala, kaum India bekerja sebagai penoreh getah dan tinggal di estet-estet. Jurang perbezaan ekonomi ini menjadi punca masalah perkauman. Ekonomi negara yang hanya dikuasai oleh sesuatu kaum akan menimbulkan perasaan curiga dan iri hati di kalangan kaum-kaum yang lain.


       Keadaan yang sedemikian menyebabkan kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Selepas tamat tempoh DEB tahun 1990, langkah-langkah tersebut memerlukan susulan, lalu kerajaan mewujudkan pula Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang antara lainnya bertujuan untuk menyusun ekonomi secara lebih sistematik.


Saudara Mohd Ariff,


      Melalui langkah-langkah sosial pula, kerajaan berusaha mewujudkan kegiatan sosial secara bersama seperti sukan, permainan, pertubuhan belia, rukun tetangga, dan terkini melalui program Rakan Muda. Kerajaan juga menekankan pentingnya semangat kejiranan, bergotong-royong dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan. Pada musim-musim perayaan pula, kita digalakkan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain. Pendekatan sosial ini diharap dapat mewujudkan sikap saling memahami, menghormati, dan toleransi antara sesama kaum.


       Langkah seterusnya yang dilakukan oleh kerajaan adalah melalui sistem pendidikan. Melalui Sistem Pendidikan Kebangsaan terutamanya, telah dirancang satu sistem yang seragam dan menyeluruh berteraskan cita-cita kebangsaan. Ini termasuklah menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, diikuti sukatan pelajaran dan corak peperiksaan yang sama. Dengan ini, akan lahirlah masyarakat yang sama dan seragam dan seterusnya tersemailah semangat perpaduan di kalangan penduduk.


        Untuk pengetahuan saudari, sistem politik negara ini berasaskan konsep Demokrasi Berpalimen. Ini bererti kita bebas bercakap, mengeluarkan pendapat, dan bebas berpolitik. Namun kebebasan ini hendaklah tidak sampai menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh menyentuh isu perkauman. Tambahan pula perkara-perkara yang sensitif yang akan menyemarakkan lagi semangat perkauman. Oleh yang demikian, kerajaan boleh mengenakan tindakan terhadap mereka yang terlibat mengikut Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri OSA dan (ISA).


Saudara Mohd Ariff,


     Sebenarnya, usaha-usaha mengatasi masalah perkauman adalah amatlah sukar. Walau bagaimanapun, melalui usaha yang bersungguh-sungguh, cita-cita tersebut pasti akan tercapai. Di samping itu, rakyat yang bernaung di bawah langit Malaysia hendaklah sanggup berkorban, saling memahami, dan turut bekerjasama bagi menjayakan cita-cita perpaduan negara.

Sekian sahaja coretan saya untuk kali ini. Jika umur panjang, kita jumpa lagi. >>>PENUTUP

PENGAKUAN & TANDATANGAN PENGIRIM
Yang Ikhlas,

............................................... 
(MOHD THORIQ B OTHMAN)



BAGI MENDAPATKAN NOTA TAMBAHAN DAN LATIHAN BERKENAAN SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI, PELAJAR BOLEH MENEKAN PADA LINK TERSEBUT :

Karangan Bahagian B

KARANGAN JENIS TIDAK BERFORMAT

  • Perbincangan 
  • Ulasan
  • Peribahasa
  • Pendapat

KARANGAN JENIS BERFORMAT

  • Laporan
  • Rencana
  • Wawancara
  • Surat rasmi / Surat Tidak Rasmi
  • Cerpen / Drama
  • Perbahasan
  • Ulasan Karya Sastera
  • Skrip Drama
  • Ceramah, Ucapan, Syarahan, Pidato

Latihan Karangan Bahagian A

Sila klik pautan di bawah untuk menjawab  latihan karangan bahagian A SPM

Panduan Menjawab Bahasa Melayu SPM Kertas 1

Berdasarkan penulisan karangan kertas 1 bahasa Melayu SPM, karangan terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian A dan bahagian B. Pelajar diwajibkan menjawab kedua-dua soalan tersebut. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, sila tekan pautan dibawah ini.


PANDUAN MENJAWAB BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1

Pengenalan

Dalam komunikasi penulisan, karangan berupa ‘rangkaian perkataan atau ayat’. Kemahiran mengarang melibatkan kemahiran kognitif dan linguistik, termasuk aspek mekanis, proses dan pembaca. Penulisan karangan dianggap aktiviti komunikatif antara penulis dengan pembaca. Dalam situasi pembelajaran di sekolah, semasa menulis, pelajar melakukan proses kognitif seperti berfikir, memberi pandangan dan menilai. Karangan merupakan wahana penting bagi pernyataan diri, untuk pernyataan bahasa dan untuk menemukan makna. Berdasarkan perkembangan media elektronik dalam komunikasi massa, karangan bukan semakin ketinggalan, sebaliknya makin maju. Hal ini demikian kerana mengarang tetap menjadi bahagian penting dalam kurikulum sekolah dan bahagian yang utama dalam pendidikan dan pengajaran bahasa Melayu.

            Selain itu, jika dilihat dari sudut fungsi, nilai utama karangan meliputi tujuan pernyataan dan penyedaran diri. Maksudnya, fungsi karangan dalam kurikulum bahasa berupaya mewujudkan dua kelebihan, iaitu untuk menolong pelajar mengenal hakikat bahasa tulisan, lantas mengerti maksud teks. Seterusnya, untuk menolong pelajar berkomunikasi dengan masyarakat yang lebih luas menerusi bahasa tulisan. Melalui pengajaran karangan, diharapkan guru bahasa mampu membantu pelajar meneroka dunia mereka supaya hidup lebih bererti.

            Kesimpulannya, melalui laman blog ini diharapkan semua pihak sama ada guru bahasa atau pelajar dapat menimba ilmu pengetahuan baharu dan berkongsi ilmu agar kejayaan dapat dikecapi. 

Monday 12 December 2011

Latihan Karangan Peribahasa



Latih Tubi: Sila bina karangan berdasarkan video yang disediakan. 

  1. Tuliskan sebuah karangan berdasarkan peribahasa "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran".



2. Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk " Harapkan pagar, pagar makan padi."
                  

3. " Musang berbulu ayam". Anda diminta membina sebuah karangan berpandukan peribahasa tersebut
3.


       4. " Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan". Anda diminta membina sebuah karangan berpandukan peribahasa tersebut.


1-

Contoh karangan Peribahasa (Cerita)


Tuliskan sebuah karangan berdasarkan peribahasa " Gengam Bara Api Biar Sampai Jadi Arang". Panjang karangan anda hendaklah melebihi 350 patah perkataan.

      Peribahasa “Genggam bara api biar sampai jadi arang” bermaksud membuat sesuatu perkara harus bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan. Peribahasa tersebut boleh dikaitkan dengan suatu peristiwa yang dialami oleh Cikgu Hanit. Beliau telah dilahirkan di Kampung Sungai Choh, Rawang, Selangor pada tahun 1937. Semasa usianya lapan tahun, bapanya telah meninggal dunia dan seterusnya beliau dibesarkan oleh ibunya bersama-sama dengan lima orang adik-beradik yang lain. Sejak itu, beliau mulai mengerti kesusahan hidup yang terpaksa dipikul bersama abangnya. Beliau bersama abangnya mengerjakan kebun peninggalan arwah ayahnya. Niatnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi terkandas disebabkan masalah kewangan yang ditanggung oleh keluarganya.

          Akhimya, dia mengambil keputusan untuk memohon menjadi guru. Ketika itu gaji permulaannya adalah RM50 sahaja. Wang sebanyak RM50 digunakan untuk membantu meringankan beban tanggungan ibunya. Sewaktu berusia 19 tahun, beliau telah bertemu jodoh dan akhimya berkahwin dengan seorang guru bemama Arbibah Abu Bakar. Mereka telah dikumiakan seramai 12 orang anak, tujuh orang lelaki, dan lima orang perempuan. Apabila mengenangkan nasibnya yang tidak berupaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, beliau menanamkan cita-cita untuk memastikan setiap anak-anaknya berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Beliau cukup prihatin dengan keperluan keluarganya dan sanggup bersusah payah demi menjamin kebahagiaan mereka sekeluarga.

          Cikgu Abu Hanit ini gigih berusaha untuk menambah pendapatan keluarga seperti menjual buah-buahan dan sayur-sayuran yang diperoleh di kebunnya yang seluas seekar di Serendah, Selangor. Selain itu, beliau sering membawa anak-anaknya menjala ikan di sungai bagi menambah sumber makanan seharian. Beliau turut membela ayam dan itik di sekitar rumahnya. Isterinya pula rajin menyediakan kuih-muih untuk jualan. Setiap pagi, sebelum pergi ke sekolah, kuih-muih ini akan dihantar oleh anak-anaknya di gerai-gerai makan. Kehidupannya yang susah menyebabkan beliau berazarn untuk mengubah nasib anak-anaknya. Beliau telah memberikan pelajaran yang sempurna kepada anaknya. Baginya anak-anak adalah amanah Tuhan. Tanggungjawab ibu bapa ialah menyempurnakan kehidupan anak-anak.

        Beliau seorang yang lembut tetapi tegas semasa mendidik anak-anak. Semuanya dididik dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Anak-anaknya dididik supaya mempunyai jadual waktu sendiri. Ada masa untuk belajar, masa membuat kerja sekolah, mengulang kaji pelajaran, berjemaah, mengaji, dan bermain. Mereka tahu tanggungjawab masing-masing dan semua ahli keluarga mesti patuh dengan peraturan dan hormat kepada orang yang lebih tua. Beliau menyediakan sebatang rotan untuk menakut-nakutkan anaknya agar tidak leka dengan tanggungjawab sebagai seorang anak. Sekiranya mereka membuat kesalahan di sekolah, beliau akan mengizinkan anak-anak untuk dirotan oleh guru. Beliau berpegang kepada prinsip ‘boleh merotan, tetapi jangan sarnpai mencederakan’.

     Cabaran yang paling utarna ialah kekurangan wang bagi membayar yuran pengajian dan belanja persekolahan. Banyak keperluan seperti buku tarnbahan yang diminta oleh anaknya tidak dapat disediakan. Mereka hanya menggunakan buku-buku abang atau kakak mereka sebagai rujukan. Kejayaan anak-anaknya yang tua sebenarnya banyak memberi dorongan kepada anak-anaknya yang lain. Beliau bukan setakat berjaya membentuk anak-anaknya sehingga berjaya dalarn kerjaya masing- masing malahan beliau turut memberi sumbangan besar kepada masyarakat. Sebagai contoh, dia berjaya membangunkan Kampung Tok Pinang, Serendah. Setelah mengharungi cabaran dalarn kehidupan, beliau kini boleh tersenyum bangga melihat anak-anaknya membesar dan telah berjaya dalam pelbagai bidang.

     Kejayaan anak-anaknya sebenarnya adalah berkat ketabahan, ketekunan, dan pengorbanan yang diberikan selarna ini. Semua anaknya telah berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi di dalam dan di luar negara. Sekarang mereka berjaya dalam bidang masing-masing di seluruh negara, sarna ada di sektor awarn mahupun di sektor swasta. Anak perempuan sulungnya berusia 46 tahun bekerja sebagai seorang guru dan sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Universiti Malaya, manakala yang bongsu baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan. Dua orang lagi anak perempuannya juga sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Amerika dan England.Sekarang dia boleh mengutip buah dan hasilnya. Rumah besar yang didiami kini adalah basil titik peluhnya dan sumbangan anak-anak.

        Semua anaknya berperibadi mulia dan tabu membalas jasa orang tua. Kini beliau sudah bersara dan tidak perlu lagi memerah keringat, namun masa lapangnya digunakan untuk berkebun di tanah seluas tiga setengah ekar. Pemilihan Cikgu Abu Hanit sebagai ‘Tokoh Bapa Cemerlang’ merupakan kejayaan besar yang dicapainya dalarn mendidik anak-anak. Anak-anaknya kini berjaya menjawat jawatan sebagai peguam, pendakwa raya, ahli perniagaan, pengurus estet, eksekutif bank, dan ahli perniagaan. Dengan itu, pengorbanan beliau menjadi contoh kepada ibu bapa yang lain agar dapat mengetahui rahsia di sebalik kejayaan beliau mendidik anak-anak. Sesungguhnya ‘Anugerah Bapa Cemerlang’ dapat dianggap sebagai dorongan kepada seluruh ibu bapa untuk mengasuh anak-anak mereka menjadi warga yang berguna kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama, dan negara. Oleh itu, kejayaan beliau bersesuaian dengan peribahasa “Genggam bara api biar sampai jadi arang”.

Contoh Karangan Peribahasa (Huraian)

Tuliskan sebuah karangan berdasarkan peribahasa “Bersatu Teguh Bercerai Roboh”. Panjang karangan anda hendaklah melebihi 350 patah perkataan.

        “Bersatu teguh bercerai roboh” merupakan satu cogan kata yang dalam maknanya untuk diamalkan oleh manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup. Cogan kata ini menggesa seluruh masyarakat bersatu dan berganding bahu dalam melakukan sesuatu pekerjaan atau menyelesaikan sesuatu masalah supaya mereka dapat hidup dalam suasana yang sejahtera, utuh, dan harmoni. Sebaliknya, jika kita bercerai-cerai, berpecah-belah, dan mementingkan diri sendiri, kita akan mengalami huru-hara dan kehancuran.Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum, kita haruslah menghayati peribahasa ini dengan hidup bersatu padu tanpa mengira bangsa, agama, dan adat resam. Untuk mencapai kemajuan nagara, masyarakat harus hidup dalam suasana aman dan damai.

              Semangat bersatu padu boleh disemai dan dipupuk dalam kalangan jiran tetangga melalui semangat kejiranan, khususnya di kawasan bandar yang semangat kejiranannya dikatakan semakin luntur. Kita yang tinggal di kawasan bandar sering berjauhan dengan keluarga dan kaum kerabat. Jadi, jiranlah yang menjadi saudara mara kita yang terdekat. Melalui hubungan sedemikian, masalah-masalah sosial seperti kecurian dan rompakan dapat dikurangkan. “Jiran sepakat membawa berkat” juga dapat diperhatikan melalui suasana kemesraan, tolong-menolong, dan saling menjaga kebajikan sesama mereka. Semangat gotong-royong, iaitu dengan melakukan kerja secara beramai-ramai juga akan mempererat hubungan sosial antara anggota masyarakat dan seterusnya dapat melahirkan perasaan kekitaan dan kesedaran kebangsaan.

         Selain itu, dengan adanya aktiviti bergotong-royong, masa, tenaga, dan perbelanjaan individu, masyarakat, dan negara dapat dijimatkan. Hal ini juga bermakna, sesuatu kerja berat akan menjadi ringan apabila dilakukan bersama, bak kata pepatah “ berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Dalam bidang pentadbiran, sama ada di sektor swasta atau di sektor kerajaan, semangat bersatu dialam kalangan pekerjanya juga harus dipupuk. Sekiranya semangat ini diabaikan, maka sesebuah organisasi itu tidak akan maju. Hal ini terjadi kerana tidak ada kerjasama antara semua pihak untuk memajukan organisasi tersebut. Jika hanya pihak tertentu sahaja yang bekerja bertungkus lumus, sedangkan pihak yang lain tidak memberi komitmen, maka kejayaan cemerlang tidak akan tercapai. Oleh yang demikian, semangat seperti “aur dengan tebing” perlu dijadikan panduan demi meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.

         Di peringkat nasional, memang tidak dinafikan lagi tentang kepentingan semangat bersatu itu. Misi dan visi yang dirancangkan oleh kerajaan untuk memajukan negara bukan setakat memerlukan kerjasama semua rakyat, malahan kerajaan dan rakyat harus bersatu dan berganding bahu untuk menjayakannya. Usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat tidak akan menjadi realiti, sekiranya tidak ada tindak balas positif daripada rakyat keseluruhannya. Jika segelintir sahaja yang menyahutnya, maka kempen-kempen dan program-program kerajaan seperti inflasi sifar, cintai alam sekitar, budaya membaca, dan lain-lain akan gagal. Tambahan pula, negara sekarang sedang mengalami masalah ekonomi. Oleh sebab itu rakyat harus bersama-sama membantu memulihkan keadaan supaya tidak bertambah teruk. Rakyat dan kerajaan tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana masalah yang melanda negara dirasai bersama-sama.

        Oleh hal yang demikian, dapatlah kita katakan bahawa pepatah “bersatu teguh bercerai roboh” amat penting untuk dijadikan teras dalam mencapai kejayaan. Jika masyarakat berpecah-belah dan bercerai-berai, sudah pasti berbagai-bagai masalah negara akan timbul seperti kes jenayah, pengangguran, kemiskinan, rusuhan kaum, dan lain-lain. Sesungguhnya keadaan sosial yang tidak stabil akan membantut usaha kerajaan untuk memajukan negara. Oleh itu, marilah kita beramal dan berpegang teguh dengan peribahasa “bersatu teguh bercerai roboh” demi kebahagiaan kita semua.

Karangan Peribahasa

Nota

Peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah dan bidalan.

Pelajar perlu memahami maksud peribahasa yang dikemukakan untuk menulis karangan jenis peribahasa ini.

Karangan jenis peribahasa ini boleh ditulis dalam bentuk huraian dan bentuk cerita.

Contoh dalam karangan atau peristiwa dalam cerita yang ditulis hendaklah berkaitan dengan peribahasa yang ditulis.

• Karangan jenis peribahasa atau cogan kata tidak memerlukan format penulisan.

•Karangan yang ditulis dalam bentuk huraian perlu mempunyai pendahuluan, isi dan kesimpulan.

• Karangan yang ditulis dalam bentuk cerita pula perlu terdiri daripada tentetan peristiwa seperti yang dihuraikan dalam karangan jenis cerita.

Karangan Jenis Perbincangan

Karangan jenis perbincangan adalah karangan yang tidak berformat. Karangan ini adalah:
i)                    Karangan yang agak mencabar
ii)                  Berhujah, mengkritik dan mempersoalkan hal-hal semasa.
iii)        Calon bebas mengemukakan pendapat sama ada bersetuju atau membangkang atau kedua-duanya sekali (memberi kebaikan dan keburukan).
iv)               Setiap hujah yang dikemukakan  hendaklah disertai dengan alasan yang munasabah.
v)                Definisi tajuk mestilah tepat dan menarik minat pembaca.

Ciri-ciri karangan perbincangan:
i)                    Tidak mempunyai format khusus .
ii)                  Tajuk selalu terbuka.
iii)                Membincangkan sesuatu topik yang khusus dan mencabar.
iv)                Memberikan hujah-hujah yang logik, tepat dan idea yang bernas.
v)                 Setiap hujah perlulah diterangkan atau dihuraikan dengan terperinci serta disokong dengan contoatau bukti-bukti untuk menguatkan hujah/ isi karangan.
vi)                Hujah atau fakta-fakta yang relevan.
vii)              Biasanya soalan perbincangan jelas kehendaknya, iaitu dengan kata kunci soalannya seperti “ Bincangkan…….”

CONTOH KARANGAN JENIS PERBINCANGAN
SOALAN

Harga barangan di pasaran semakin mahal dari semasa ke semasa. Bincangkan punca-punca kenaikan harga barangan tersebut.


KARANGAN LENGKAP

Isu kenaikan harga barangan bukanlah satu fenomena yang baru berlaku pada hari ini. Ia sudah lama berlaku disebabkan oleh peningkatan taraf kehidupan sesebuah masyarakat itu sendiri. Namun, terdapat juga punca-punca yang menyebabkan kenaikan harga barang ini berlaku.
Salah satu punca kenaikan harga barang ialah bencana alam. Bagi negara-negara yang membekalkan hasil-hasil bumi mereka seperti beras, bawang, buah-buahan dan sebagainya terpaksa menaikan harga penjualan yang mendadak naik khususnya apabila berlaku bencana alam seperti banjir, ribut petir, kemarau dan sebagainya. Sebagai contoh, apabila negara India dilanda banjir kilat harga bawang melonjak naik kerana pengeksportan bawang dari negara itu cukup terhad dan tidak dapat dimiliki oleh semua pengguna.
Selain daripada itu, kenaikan harga minyak juga tidak kurang memberikan impak yang besar dalam kenaikan harga barangan. Ini kerana setiap produk yang diimport memerlukan kos bayaran minyak bagi perkhidmatan penghantaran. Apabila harga minyak melonjak naik secara drastik, secara tidak langsung ia mempengaruhi harga barangan yang diimport tersebut apabila ia dipasarkan kelak. Sebagai contoh, isu yang berlaku baru-baru ini, harga barangan banyak melonjak naik secara mendadak akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang mencecah dua hingga tiga kali ganda daripada harga biasa.
Terdapat juga peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan secara berlebihan. Ini juga salah satu punca harga barangan naik. Hal ini berlaku kerana kurangnya pantauan yang dibuat oleh pihak berkuasa terhadap syarikat-syarikat serta gedung-gedung perniagaan baik yang besar mahupun perniagaan kecil di sesebuah negara tersebut. Apabila berlaku kelonggaran dari segi penguatkuasaan tersebut, tidak mustahil seseorang peniaga itu menaikan harga barangan di kedainya untuk mengaut keuntungan yang lebih.
Walaupun banyak perkara yang mempengaruhi kenaikan harga barang tersebut, namun hal ini masih boleh diatasi dengan adanya penguatkuasaan undang-undang yang ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Ekonomi sesebuah negara tersebut. Selain daripada itu, pihak kerajaan sewajarnya memberikan subsidi kepada rakyatnya khususnya di negara-negara miskin. Dengan hal-hal yang sedemikian, saya percaya bahawa ia sekurang-kurangnya boleh mengurangkan masalah kenaikan harga barangan yang berlaku pada hari ini.

LATIHAN KARANGAN JENIS PERBINCANGAN


Sila perhatiakan video di bawah dan kaitkan dengan kehendak soalan


1)Pengekalan bangunan bersejarah harus diberikan perhatian yang serius di Malaysia kerana bangunan bersejarah mempunyai nilai budaya dan nilai keseniannya yang tersendiri. Selain itu, bangunan-bangunan ini mencirikan identiti negara dan merakamkan sejarah penting negara. Berikan pendapat anda tentang kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah ini.




  2) Baru-baru ini beberapa kawasan di negara kita telah dilanda banjir kilat. Hal ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk di kawasan tersebut. Bincangkan tentang usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk mengatasi banjir kilat tersebut.


Karangan Jenis Wawancara/ Dialog

Karangan jenis wawancara ialah karangan berformat. Karangan ini juga adalah seperti jenis karangan lain, yang mempunyai tajuk / topik yang utama. Setiap karangan ini mempunyai sekurang-kurangnya dua watak atau lebih yang mengambarkan tentang perbualan dua atau lebih individu. Sebelum memulakan karangan boleh disertakan keterangan tetapi janganlah terlalu panjang. Lihat contoh : 
Abu diminta oleh guru kelas untuk menemu ramah Guru Besar sebelum beliau bersara. Hasil temu ramah itu akan dimuatkan di dalam majalah sekolah. berikut merupakan hasil temu ramah tersebut:

Format Karangan Wawancara
i)  Nama watak ditulis selari di sebelah kiri.
ii) Selepas nama watak diletakkan tanda titik bertindih (:) juga dalam keadaan selari.
    contoh: 
    Nama A : Assalammualaikum, Makcik.
    Nama B : Waalaikummussalam.
    Nama A : Apa Khabar Makcik?
iii) Mulakan perbualan dengan salam sejahtera.
iv) Anda perlu menggunakan kata ganti nama diri yang sesuai.Jika orang yang dibawa berbual itu berumur, gunakan panggilan "Encik", "Tuan", ataupun "Makcik".
v) Pastikan anda tahu tentang hal atau perkara yang akan ditulis untuk bahan temu ramah/ dialog.
vi) Boleh gunakan bahasa kiasan atau peribahasa dan kata singkatan seperti 'tak', 'dah'.
vii)Soalan yang dikemukakan adalah ringkas, tidak rumit dan berbelit-belit. Dalam dialo itu, kedua-dua pihak harus bertanya, memberi pendapat atau pandangan.
viii)Jawapan yang diberi kepada soalan adalah panjang lebar. Elakkan penggunaan soalan yang cuma memerlukan jawapan "ya" atau "tidak" dan soalan-soalan disusun dengan baik supaya terus berkesinambungan.
ix) Kawal jumlah perkataan yang digunakan (lebih kurang 80 patah perkataan)
x)  Tanda baca yang digunakan harus sesuai dengan nada percakapan. Hati-hati dengan ayat tanya kerana ia berakhir dengan tanda tanya. (?)
xi)  Mesti ditulis mengikut format. (terpesong format, tolak 3 markah)
xii) Soalan yang diikuti dengan jawapan lengkap diberi markah penuh dan akhiri perbualan dengan mengucapkan terima kasih kepada yang ditemu ramah.

CONTOH KARANGAN WAWANCARA
SOALAN:
Andaikan bahawa anda menyertai pertandingan syarahan. Dalam pertandingan itu, anda telah mendapat tempat kedua. Anda telah dikalahkan oleh peserta bukan Melayu. Anda ingin mengucapkan tahniah dan menyatakan perasaan kagum anda akan kebolehannya. Tuliskan dialog anda selengkapnya. 

KARANGAN LENGKAP

( Siva sedang asyik membaca sebuah buku cerita di perpustakaan sekolah )
Azman :  Tahniah,Siva,kerana kamu berjaya dalam pertandingan syarahan itu.
Siva    :   Terima kasih. Saya berharap supaya kejayaan ini akan menaikkan semangat pelajar-pelajar bukan Melayu yang lain untuk mempelajari Bahasa Melayu.
Azman :   Saya kagum melihat kamu bersyarah pada hari ini. Setiap perkataan yang awak ucapkan jelas dan lancar. Bagaimanakah  cara kamu mempelajari Bahasa Melayu ?
Siva     :   Keluarga saya menggalakkan saya membaca buku-buku Bahasa Melayu yang bermutu. Di    samping itu,saya mempelajari  tatabahasa dengan baik. Saya selalu membuka kamus  untuk mempelajari ejaan dan makna kata-kata yang saya baca. Saya melatih diri saya menggunakan bahasa baku apabila membaca atau bercakap.
Azman :   Kalau begitu ,tidak hairanlah saya apabila kamu berjaya mengalahkan saya dan beberapa pelajar Melayu yang lain dalam pertandingan itu. Saya malu,Siva.
Siva     :   Mengapa ?
Azman :   Selama ini saya menganggap Bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudah kerana itu  adalah bahasa ibunda saya. Rupa-rupanya saya silap.
Siva     :   Baguslah, Azman,kalau kamu sudah sedar. Sama-samalah kita belajar menguasai bahasa    kebangsaan negara kita.
Azman :   Ya,baiklah ,Siva... 


CONTOH SOALAN KARANGAN JENIS WAWANCARA
1.   Kawan kamu telah kehilangan duit. Dia suka menuduh orang lain tanpa usul periksa. Bagaimanakah cara kamu menasihatinya ? Tuliskan perbualan di antara kamu berdua. 
2.    Kamu berpeluang menemuramah seorang bapa kepada sepasang anak kembar yang telah berjaya menjadi doktor perubatan , semasa majlis penyampaian ijazah di Universiti Malaya. Cuba buat satu temuramah itu dengan bertanyakan hal-hal yang berkaitan.

Karangan Jenis Surat Rasmi

Karangan Jenis Surat Rasmi

1.      Surat rasmi ditulis untuk tujuan-tujuan seperti yang berikut antaranya :
a.      memohon pekerjaan
b.      membuat aduan / bantahan / cadangan
c.      membuat rayuan
d.      membuat jemputan rasmi
e.      menempah barangan
f.       meminta kebenaran
g.      atau apa-apa yang melibatkan urusan rasmi

2.      Surat rasmi adalah salah satu karangan yang memerlukan kita sensitif dengan penggunaan tanda baca seperti penggunaan huruf besar dan huruf kecil. ( Anda boleh dapatkan bantuan daripada guru. )

3.      Karangan ini juga merupakan karangan yang penuh dengan format tersendiri yang mesti kamu ikuti. Ini memudahkan anda melakukan kesalahan serta mudahlah markah anda melayang. Ia juga memudahkan anda mendapat markah jika anda mahir dengan formatnya.

4.      Karangan mesti ditulis mengikut format ( jika tersalah format- tolak 3 markah )
a.     alamat  ( salah letak / jika tiada- tolak 1 markah )
b.     tarikh  ( salah letak / jika tiada- tolak 1 markah )
c.     panggilan hormat  ( salah letak / jika tiada- tolak 1 markah )
d.     tajuk / perkara  ( salah letak / jika tiada- tolak 1 markah )
e.     tanda tangan dan nama  ( salah letak / jika tiada- tolak 1 markah )

4.      Perhatikan format di bawah.




Bagi mendapatkan penjelasan yang lebih lengkap dan jelas, anda boleh memilih pautan di bawah ini:

http://infolib.bernama.com/equip-bernama/images/nota_suratrasmi.pdf


Karangan Latihan:
Tuliskan sepucuk surat kepada Setiausaha Sukan sekolah kamu untuk memberitahunya bahawa Pasukan Bola Jaring sekolah kamu memerlukan sebiji bola baru bagi menggantikan bola yang telah rosak.

Rangka
1.      Alamat pengirim ( permulaan perkataan dalam huruf besar ) ( jangan lupa tanda koma di hujungnya ) kemudian selang satu baris
2.      Buat satu baris panjang melintang kemudian selang satu baris
3.      Nama ( jawatan ) serta alamat penerima ( permulaan perkataan dalam huruf besar )( alamat yang terakhir digariskan )
4.      Tarikh ( selari dengan alamat terakhir penerima ) ( bulan ditulis dalam huruf besar )
5.      Kata ganti diri penerima ( tuan, )
6.      Perkara / tajuk ( permulaan perkataan dalam huruf besar dan digariskan )
7.      Perenggan pertama: tujuan menulis surat ini ( tiada jarak perenggan, lihat contoh )
8.      Perenggan ke-2        
- bola lama tidak dapat digunakan lagi
- memerlukan bola baru
( bagi perenggan kedua dan seterusnya mempunyai nombor serta tanda noktah. Jarakkan sedikit sebelum menulis )
9.      Perenggan ke-3            
-berharap agar permohonan diluluskan
-supaya latihan tidak terganggu
10.   Perenggan ke-4            
-mempunyai masa yang singkat sebelum hari perlawanan
11.   Penutup                      
-terima kasih
12.   Tandatangan pengirim ( boleh ditulis nama secara bersambung atau tidak )
13.   Nama penuh ( huruf besar ) dalam kurungan
14.   Jawatan jika ada ( permulaan perkataan dalam huruf besar )
15.   Berhati-hati dalam penggunaan tanda baca seperti huruf besar , tanda noktah dan koma.



Jenis Perenggan : Pendahuluan, Isi dan Penutup



 Pendahuluan karangan

• Pendahuluan karangan seboleh-bolehnya menggambarkan tajuk perbincangan dan keseluruhan isi yang hendak dibincangkan dalam perenggan isi karangan.

• Pembaca akan membuat kesimpulan awal tentang perkara yang ditulis setelah membaca pendahuluan. Sehubungan dengan itu, anda mesti berupaya untuk mengetahui dan menulis beberapa jenis perenggan pendahuluan.

• Secara umumnya, perenggan pendahuluan terbahagi kepada  enam jenis perenggan, iaitu:
a. Pendahuluan jenis definisi.
b. Pendahuluan jenis pendapat.
c. Pendahuluan jenis situasi/suasana.
d. Pendahuluan jenis persoalan.
e. Pendahuluan jenis peribahasa.
f. Pendahuluan jenis sejarah.

1-Contoh Pengenalan Jenis Definisi

Soalan
Isu penderaan kanak-kanak masih lagi berlaku walaupun negara kita sudah mencapai kemajuan yang pesat. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan kes ini sentiasa berlaku dan berulang.

Pendahuluan
“Dera” bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang atau alat-alat lain sebagai hukuman. “Mendera” bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. “Penderaan” pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya penderaan terbahagi kepada dua jenis iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

2-Contoh Pengenalan Jenis Pendapat
Soalan
Kepentingan bahasa Inggeris kepada rakyat dan negara. Bincangkan.
Pendahuluan
Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau mengatakan bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Menurut beliau bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.

3-Contoh Pendahuluan Jenis Suasana
Soalan
Jiran anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana rumahnya tertimbus oleh runtuhan batu. Gambarkan keadaan dan suasana pada masa kejadian itu berlaku.
Pendahuluan
Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar akan jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu, saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

4-Contoh Pendahuluan Jenis Persoalan
Soalan
Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan di jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?
Pendahuluan
Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada sahaja kemalangan di jalan raya yang dilaporkan di media massa? Siapakah yang patut disalahkan, penggunaan jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

5-Contoh Pendahuluan Jenis Peribahasa
Soalan
Tulis suatu rencana yang bertajuk “Perpaduan Asas Kemajuan” untuk dimuatkan dalam majalah sekolah anda.
Pendahuluan
Orang Melayu sememangnya kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menekankan aspek kerjasama dan perpaduan termasuklah “Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”, “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, “Bagai aur dengan tebing”, dan “Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua”. Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas kemajuan sesebuah negara.

6-Contoh Pendahuluan Jenis Sejarah
Soalan
Bincangkan punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak di negara kita merosot.
Pendahuluan
Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai Sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kira setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?

 Perenggan Isi Karangan

Perenggan Isi

• Dalam pembinaan perenggan, kesatuan ayat-ayat sangat penting.

• Kesempurnaan, susunan dan urutan ayat demi ayat menjadi tanda lengkapnya suatu perenggan (Sulaiman Masri, 1988: 55).

• Pelajar dikehendaki menulis satu isi untuk satu perenggan.

• Pelajar boleh mengemukakan isi-isi sampingan untuk memperkuatkan hujah atau huraian.

• Perenggan isi hendaklah sekurang-sekurangnya mengandungi empat ayat hingga enam ayat setiap perenggan seperti yang dinyatakan di bawah ini.
    
     1Ayat Judul
   2-Ayat Huraian 
   3-Ayat Bukti/Contoh
   4-Ayat Penegas

a)             Ayat Judul
• Ayat yang mengandungi kata kunci jawapan yang menjawab persoalan karangan
• Ayat judul ini boleh diletakkan di bahagian awal, di tengah atau di hujung sesuatu perenggan.
Contoh
Satu daripada langkah yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah mengenakan denda yang lebih terhadap pengguna-pengguna jalan raya yang cuai dan bertimbang rasa.

b)        Ayat Huraian

• Ayat huraian ialah huraian lanjut tentang isu utama yang dikemukan bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama. 
• Karangan yang baik akan mengemukakan beberapa ayat huraian.

Contoh
Denda yang dikenakan ini sekurang-kurangnya akan menakutkan mereka atau memberikan kesedaran kepada pengguna-pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan bersopan di ajaln raya.

c)         Ayat Bukti/ Contoh
• Ayat bukti atau ayat contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandungi bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan bertujuan untuk memperkuatkan hujah.
• Bukti dan contoh yang dikemukakan mestilah bukti yang sahih dan bukan bukti atau contoh yang sengaja diada-adakan.

Contoh
Sebagai contohnya, cadangan untuk menaikkan denda maksimum daripada RM300 kepada RM600 bagi sebarang kesalahan di jalan raya serta cadangan untuk mengenakan hukuman penjara bagi kesalahan memandu ketika mabuk dan mengadakan perlumbaan haram di jalan raya hendaklah disokong oleh semua pihak.

d)        Ayat Penegas
• Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian.
• Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti “ Tegasnya”, “Oleh itu, dan “Sehubungan dengan itu”.

Contoh
Tegasnya, denda yang berat akan memberikan kesedaran kepada pengguna supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya.

 Perenggan Penutup

Para pelajar boleh melayari laman web ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut  mengenai penulisan perenggan penutup.