CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, 12 December 2011

Daripada rangka menjadi karangan


Rangka Karangan


1. Pendahuluan

2. Isi
3. Isi
4. Isi
5. Isi
Penutup

Rajah 1: Rangka Karangan




 Karangan


Perenggan Pendahuluan

Perenggan Isi
Perenggan  Isi
Perenggan  Isi
Perenggan Isi
Penutup

Rajah 2: Gambaran keseluruhan karangan lengkap



Rajah 1 adalah gambaran sebuah rangka karangan, manakala rajah 2 ialah karangan yang lengkap. Jelas dapat dilihat bahawa, pertalian antara karangan yang lengkap dengan rangka amat rapat. Rangka dapat menggambarkan susunan karangan keseluruhannya dan karangan yang lengkap itu pula terhasil daripada rangka perancangan baik.

      Pengembangan rangka bermula dengan pendahuluan. Kemudian isi-isi penting dikembangkan dalam perenggan-perenggan isi. Jadi, konsep perenggan sebenarnya berkaitan dengan adanya sesuatu isi atau maklumat tertentu yang perlu dihuraikan atau dibincangkan. Setiap isi penting sebaik-baiknya ditulis dalam satu perenggan yang lengkap dengan penyataan isi penting, huraian atau perbahasan serta contoh dan bahan sokongan yang lain. Secara teorinya, jika ada lima isi penting yang dirancang untuk dikemukakan, maka harus ada lima perenggan isi yang dihasilkan, tidak termasuk perenggan pendahuluan dan perenggan penutup (Awang Sariyan: 2004: 86).

           Karangan yang dihasilkan tanpa perancangan dan ditulis menurut apa-apa sahaja yang terlintas dalam ingatan tidak akan memenuhi bentuk dan susunan karangan yang baik. Isi-isi yang dibincangkan tidak tersusun, melompat daripada satu isi kepada satu isi tanpa jalinan yang jelas dan kemas dan tidak jarang diulang dalam perenggan yang lain.

           Tahap pemahaman yang betul tentang konsep perenggan pula, banyak sekali karangan yang dihasilkan tidak menempatkan isi-isi penting dalam perenggan-perenggan yang tersendiri. Sering kali terjadi bahawa, satu perenggan boleh berisi lebih daripada satu isi penting. Hal ini demikian kerana penulis tidak memahami  bahawa satu perenggan sepatutnya berisi satu isi penting sahaja, lengkap dengan huraian, perbahasan dan contoh. Jalinan semua perenggan dalam karangan akan dapat menggambarkan keseluruhan persoalan dan aspek yang berkaitan dengan tajuk karangan.

        Perenggan-perenggan dalam karangan dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup. Kewujudan ketiga-tiga perenggan ini dapat dibandingkan dengan tiga bahagian penting pada tubuh manusia. Perenggan pendahuluan adalah laksana kepala, sementara perenggan-perenggan isi laksana badan dan perenggan penutup umpama kaki. Tanpa salah satu bahagian itu, tidak sempurnalah jasad manusia. Demikianlah juga, tanpa salah satu perenggan yang disebutkan itu, tidak lengkaplah binaan karangan. 
                      

0 comments:

Post a Comment