CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, 12 December 2011

Kepentingan Menulis

Hasil tulisan merupakan salah satu bentuk wacana tulisan yang menjadi wadah penyampaian ilmu kepada pembaca dan penerima mesej. Oleh itu, kegiatan menulis merupakan satu kepentingan yang menjadi keutamaan kepada penulis dan pembaca untuk menyampai serta menerima mesej. Secara khususnya, terdapat beberapa kepentingan menulis yang memerlukan penyataan kehendak, fikiran dan pendapat yang dizahirkan dalam bentuk tulisan.

Pertamanya, kegiatan menulis menjadi wadah pemerolehan dan penyebaran ilmu. Bahan bertulis ini menjadi rakaman bentuk komunikasi bertulis yang mengandungi pelbagai sumber maklumat yang boleh dijadikan perkongsian bersama. Contohnya, seseorang yang ingin mendapatkan bahan maklumat ilmiah, maka penggunaan bahan bertulis akan menjadi sebagai bahan rujukan dan panduan untuk memperoleh ilmu tersebut.

Selain itu, penerima serta penyampai mesej amat memerlukan pemerolehan maklumat serta fakta daripada bahan bertulis. Bahan bertulis ini akan menjadi sumber rujukan dan bukti yang menyatakan tentang sesuatu maklumat atau fakta penting yang perlu diketahui. Contohnya, dalam akhbar atau majalah, penyampaan berita semasa serta maklumat-maklumat seperti kesihatan, ekonomi dan sebagainya menjadi santapan pembaca yang ingin mendapatkan maklumat serta fakta mengenainya.

Seterusnya, bahan bertulis juga menjadi satu bentuk komunikasi tulisan yang penting untuk menyampaikan tentang sesuatu perkara atau maklumat. Dengan adanya bahan bertulis, maka komunikasi tulisan ini dapat menjadi penghubung antara dua pihak secara langsung atau tidak langsung. Misalnya, jika seseorang ingin menulis surat aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan tentang kerosakan tertentu di kawasan kediaman kita, maka bahan bertulis itu menjadi wadah kepada kita untuk menyampaikan hasrat serta aduan tersebut.

0 comments:

Post a Comment