CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, 12 December 2011

Jenis Perenggan : Pendahuluan, Isi dan Penutup



 Pendahuluan karangan

• Pendahuluan karangan seboleh-bolehnya menggambarkan tajuk perbincangan dan keseluruhan isi yang hendak dibincangkan dalam perenggan isi karangan.

• Pembaca akan membuat kesimpulan awal tentang perkara yang ditulis setelah membaca pendahuluan. Sehubungan dengan itu, anda mesti berupaya untuk mengetahui dan menulis beberapa jenis perenggan pendahuluan.

• Secara umumnya, perenggan pendahuluan terbahagi kepada  enam jenis perenggan, iaitu:
a. Pendahuluan jenis definisi.
b. Pendahuluan jenis pendapat.
c. Pendahuluan jenis situasi/suasana.
d. Pendahuluan jenis persoalan.
e. Pendahuluan jenis peribahasa.
f. Pendahuluan jenis sejarah.

1-Contoh Pengenalan Jenis Definisi

Soalan
Isu penderaan kanak-kanak masih lagi berlaku walaupun negara kita sudah mencapai kemajuan yang pesat. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan kes ini sentiasa berlaku dan berulang.

Pendahuluan
“Dera” bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang atau alat-alat lain sebagai hukuman. “Mendera” bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. “Penderaan” pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya penderaan terbahagi kepada dua jenis iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

2-Contoh Pengenalan Jenis Pendapat
Soalan
Kepentingan bahasa Inggeris kepada rakyat dan negara. Bincangkan.
Pendahuluan
Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau mengatakan bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Menurut beliau bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.

3-Contoh Pendahuluan Jenis Suasana
Soalan
Jiran anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana rumahnya tertimbus oleh runtuhan batu. Gambarkan keadaan dan suasana pada masa kejadian itu berlaku.
Pendahuluan
Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar akan jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu, saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

4-Contoh Pendahuluan Jenis Persoalan
Soalan
Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan di jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?
Pendahuluan
Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada sahaja kemalangan di jalan raya yang dilaporkan di media massa? Siapakah yang patut disalahkan, penggunaan jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

5-Contoh Pendahuluan Jenis Peribahasa
Soalan
Tulis suatu rencana yang bertajuk “Perpaduan Asas Kemajuan” untuk dimuatkan dalam majalah sekolah anda.
Pendahuluan
Orang Melayu sememangnya kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menekankan aspek kerjasama dan perpaduan termasuklah “Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”, “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, “Bagai aur dengan tebing”, dan “Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua”. Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas kemajuan sesebuah negara.

6-Contoh Pendahuluan Jenis Sejarah
Soalan
Bincangkan punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak di negara kita merosot.
Pendahuluan
Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai Sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kira setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?

 Perenggan Isi Karangan

Perenggan Isi

• Dalam pembinaan perenggan, kesatuan ayat-ayat sangat penting.

• Kesempurnaan, susunan dan urutan ayat demi ayat menjadi tanda lengkapnya suatu perenggan (Sulaiman Masri, 1988: 55).

• Pelajar dikehendaki menulis satu isi untuk satu perenggan.

• Pelajar boleh mengemukakan isi-isi sampingan untuk memperkuatkan hujah atau huraian.

• Perenggan isi hendaklah sekurang-sekurangnya mengandungi empat ayat hingga enam ayat setiap perenggan seperti yang dinyatakan di bawah ini.
    
     1Ayat Judul
   2-Ayat Huraian 
   3-Ayat Bukti/Contoh
   4-Ayat Penegas

a)             Ayat Judul
• Ayat yang mengandungi kata kunci jawapan yang menjawab persoalan karangan
• Ayat judul ini boleh diletakkan di bahagian awal, di tengah atau di hujung sesuatu perenggan.
Contoh
Satu daripada langkah yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah mengenakan denda yang lebih terhadap pengguna-pengguna jalan raya yang cuai dan bertimbang rasa.

b)        Ayat Huraian

• Ayat huraian ialah huraian lanjut tentang isu utama yang dikemukan bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama. 
• Karangan yang baik akan mengemukakan beberapa ayat huraian.

Contoh
Denda yang dikenakan ini sekurang-kurangnya akan menakutkan mereka atau memberikan kesedaran kepada pengguna-pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan bersopan di ajaln raya.

c)         Ayat Bukti/ Contoh
• Ayat bukti atau ayat contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandungi bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan bertujuan untuk memperkuatkan hujah.
• Bukti dan contoh yang dikemukakan mestilah bukti yang sahih dan bukan bukti atau contoh yang sengaja diada-adakan.

Contoh
Sebagai contohnya, cadangan untuk menaikkan denda maksimum daripada RM300 kepada RM600 bagi sebarang kesalahan di jalan raya serta cadangan untuk mengenakan hukuman penjara bagi kesalahan memandu ketika mabuk dan mengadakan perlumbaan haram di jalan raya hendaklah disokong oleh semua pihak.

d)        Ayat Penegas
• Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian.
• Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti “ Tegasnya”, “Oleh itu, dan “Sehubungan dengan itu”.

Contoh
Tegasnya, denda yang berat akan memberikan kesedaran kepada pengguna supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya.

 Perenggan Penutup

Para pelajar boleh melayari laman web ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut  mengenai penulisan perenggan penutup.


























1 comments:

Sharmin Ashikin

minta izin untuk salin ye

Post a Comment