CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
Showing posts with label Nota. Show all posts
Showing posts with label Nota. Show all posts

Monday, 12 December 2011

Jenis Perenggan : Pendahuluan, Isi dan Penutup



 Pendahuluan karangan

• Pendahuluan karangan seboleh-bolehnya menggambarkan tajuk perbincangan dan keseluruhan isi yang hendak dibincangkan dalam perenggan isi karangan.

• Pembaca akan membuat kesimpulan awal tentang perkara yang ditulis setelah membaca pendahuluan. Sehubungan dengan itu, anda mesti berupaya untuk mengetahui dan menulis beberapa jenis perenggan pendahuluan.

• Secara umumnya, perenggan pendahuluan terbahagi kepada  enam jenis perenggan, iaitu:
a. Pendahuluan jenis definisi.
b. Pendahuluan jenis pendapat.
c. Pendahuluan jenis situasi/suasana.
d. Pendahuluan jenis persoalan.
e. Pendahuluan jenis peribahasa.
f. Pendahuluan jenis sejarah.

1-Contoh Pengenalan Jenis Definisi

Soalan
Isu penderaan kanak-kanak masih lagi berlaku walaupun negara kita sudah mencapai kemajuan yang pesat. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan kes ini sentiasa berlaku dan berulang.

Pendahuluan
“Dera” bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang atau alat-alat lain sebagai hukuman. “Mendera” bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. “Penderaan” pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya penderaan terbahagi kepada dua jenis iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

2-Contoh Pengenalan Jenis Pendapat
Soalan
Kepentingan bahasa Inggeris kepada rakyat dan negara. Bincangkan.
Pendahuluan
Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau mengatakan bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Menurut beliau bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.

3-Contoh Pendahuluan Jenis Suasana
Soalan
Jiran anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana rumahnya tertimbus oleh runtuhan batu. Gambarkan keadaan dan suasana pada masa kejadian itu berlaku.
Pendahuluan
Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar akan jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu, saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

4-Contoh Pendahuluan Jenis Persoalan
Soalan
Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan di jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?
Pendahuluan
Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada sahaja kemalangan di jalan raya yang dilaporkan di media massa? Siapakah yang patut disalahkan, penggunaan jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

5-Contoh Pendahuluan Jenis Peribahasa
Soalan
Tulis suatu rencana yang bertajuk “Perpaduan Asas Kemajuan” untuk dimuatkan dalam majalah sekolah anda.
Pendahuluan
Orang Melayu sememangnya kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menekankan aspek kerjasama dan perpaduan termasuklah “Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”, “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, “Bagai aur dengan tebing”, dan “Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua”. Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas kemajuan sesebuah negara.

6-Contoh Pendahuluan Jenis Sejarah
Soalan
Bincangkan punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak di negara kita merosot.
Pendahuluan
Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai Sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kira setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?

 Perenggan Isi Karangan

Perenggan Isi

• Dalam pembinaan perenggan, kesatuan ayat-ayat sangat penting.

• Kesempurnaan, susunan dan urutan ayat demi ayat menjadi tanda lengkapnya suatu perenggan (Sulaiman Masri, 1988: 55).

• Pelajar dikehendaki menulis satu isi untuk satu perenggan.

• Pelajar boleh mengemukakan isi-isi sampingan untuk memperkuatkan hujah atau huraian.

• Perenggan isi hendaklah sekurang-sekurangnya mengandungi empat ayat hingga enam ayat setiap perenggan seperti yang dinyatakan di bawah ini.
    
     1Ayat Judul
   2-Ayat Huraian 
   3-Ayat Bukti/Contoh
   4-Ayat Penegas

a)             Ayat Judul
• Ayat yang mengandungi kata kunci jawapan yang menjawab persoalan karangan
• Ayat judul ini boleh diletakkan di bahagian awal, di tengah atau di hujung sesuatu perenggan.
Contoh
Satu daripada langkah yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah mengenakan denda yang lebih terhadap pengguna-pengguna jalan raya yang cuai dan bertimbang rasa.

b)        Ayat Huraian

• Ayat huraian ialah huraian lanjut tentang isu utama yang dikemukan bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama. 
• Karangan yang baik akan mengemukakan beberapa ayat huraian.

Contoh
Denda yang dikenakan ini sekurang-kurangnya akan menakutkan mereka atau memberikan kesedaran kepada pengguna-pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan bersopan di ajaln raya.

c)         Ayat Bukti/ Contoh
• Ayat bukti atau ayat contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandungi bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan bertujuan untuk memperkuatkan hujah.
• Bukti dan contoh yang dikemukakan mestilah bukti yang sahih dan bukan bukti atau contoh yang sengaja diada-adakan.

Contoh
Sebagai contohnya, cadangan untuk menaikkan denda maksimum daripada RM300 kepada RM600 bagi sebarang kesalahan di jalan raya serta cadangan untuk mengenakan hukuman penjara bagi kesalahan memandu ketika mabuk dan mengadakan perlumbaan haram di jalan raya hendaklah disokong oleh semua pihak.

d)        Ayat Penegas
• Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian.
• Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti “ Tegasnya”, “Oleh itu, dan “Sehubungan dengan itu”.

Contoh
Tegasnya, denda yang berat akan memberikan kesedaran kepada pengguna supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya.

 Perenggan Penutup

Para pelajar boleh melayari laman web ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut  mengenai penulisan perenggan penutup.


























KESILAPAN UMUM BAHASA DALAM PENULISAN


Bahasa merupakan alat komunikasi, baik dalam komunikasi lisan mahupun dalam komunikasi lisan. Oleh itu, penggunaan bahasa yang digunakan sama ada kata, frasa,klausa mahupun ayat terdapat system yang tersendiri. Dalam penulisan, penguasaan sistem bahasa penting kerana bahasa tulisan lazimnya perlu lebih teratur daripada bahasa lisan. Antara kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar adalah berkaitan tatabahasa, pemilihan dan penggunaan kata, ejaan dan tanda baca.

Dalam penulisan, pelajar sering melakukan kesalahan yang berkaitan dengan tatabahasa. Sebenarnya, jumlah kesalahan tatabahasa yang banyak menunjukkan pelajar tidak mahir menulis karangan. Kesalahan ini akan menjejaskan markah pelajar. Oleh itu, jangan memandang enteng terhadap kesalahan-kesalahan berikut.




Kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar

Kesalahan serius yang kerap dilakukan pelajar semasa menulis karangan adalah seperti berikut :

1. Penggunaan kata hubung pada awal ayat sebagai penanda wacana :
Namun, Tetapi, Malah, Manakala
Sepatutnya : Akan tetapi, Namun begitu, (Penanda wacana)
…..manakala……, ……malah…. (ditulis untuk menghubungkan dua ayat)

2. Ayat tergantung. ( Bak kata pepatah…..) ditulis pada awal ayat. Sepatutnya …..bak kata pepatah….(ditulis di dalam ayat)

3. Kesalahan ejaan…bah kata peribahasa….sepatutnya …bak kata peribahasa. ‘bah’ membawa maksud ‘banjir’.

4. memberi kasih sayang …… sepatutnya memberikan kasih sayang. Umumnya, kata kerja ‘memberikan’ perlu diikuti oleh objek tidak bernyawa manakala ‘memberi’ diikuti objek bernyawa.

5. Ayat tergantung kerana tiada subjek. Ini menunjukkan….. sepatutnya Hal/ Perkara ini menunjukkan……
6. Ini kerana …… sepatutnya Hal ini demikian kerana…

7. Justeru itu, …digunakan sebagai penanda wacana. ‘justeru’ ialah kata hubung yang membawa maksud ‘malahan’ atau ‘bahkan’.

8. Tidak menyelitkan objek selepas kata kerja transitif. …mempunyai banyak pilihan….. ‘banyak’ bukannya objek. ‘banyak’ ialah kata bilangan tidak tentu. Objek mesti kata nama. Pembetulan : ….. mempunyai pilihan yang banyak…

9. Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ digunakan sesuka hati. ‘ialah’ perlu diikuti kata nama nama. ‘adalah’ perlu diikuti kata adjektif atau kata sendi nama.

10. Kata kerja tidak menerima kata pemeri. Anda perlu tambah kata sendi nama pada kata pemeri ‘adalah’. Sebagai contoh: Langkah-langkah yang perlu diambil adalah menguatkuasakan undang-undang……sepatutnya ….adalah dengan menguatkuasakan………/ adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan… antara kata sendiri nama yang dapat digunakan ( adalah untuk/adalah dengan/adalah melalui, adalah seperti)

11. Bentuk lewah. Sebagai contoh : Antara faktor-faktor …… sepatutnya Antara faktor. Pelbagai langkah-langkah ….. sepatutnya …. Pelbagai langkah…

12. Bentuk lewah bagi pengimbuhan kata adjektif. Hanya dua imbuhan sahaja digunakan. Sebagai contoh: memperbaiki…..sepatutnya …membaiki atau memperbaik.

13. Kesalahan Hukum D-M. Sebagai contoh: …dan lain-lain lagi. Sepatutnya…. aktiviti-aktiviti lain. (berdasarkan perkara yang dibincangkan).

14. Penggunaan kata ganti nama diri ketiga ‘ia’ untuk benda atau perkara. Sebagai contoh: Salah satu langkah untuk mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar adalah dengan menjalankan kempen. Ia perlu diadakan secara besar-besaran. ‘ia’ sepatutnya digantikan dengan subjek perbincangan iaitu, kempen. Pembetulan: Kempen ini perlu diadakan ……

15. Masih terdapat murid yang masih menulis …di kalangan…..sepatutnya ‘dalam kalangan’. Kata sendi ‘di’ berfungsi untuk menyatakan arah.

16. Pada masa kini….sepatutnya Pada masa ini, atau Kini,.

17. Kesalahan penanda wacana. Sebagai contoh : Selain daripada itu/ Selain dari itu , sepatutnya … Selain itu,… Sehubungan itu sepatutnya…. Sehubungan dengan itu,…

18. oleh kerana.. sepatutnya oleh sebab…

19. Penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Sebagai contoh : …di mana, yang mana, bagaimana, siapa, apa ….. sepatutnya kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata lain yang sesuai. Sebagai contoh : apa – (perkara/hal), bagaimana – (cara/langkah), siapa – (orang/individu).di mana (tempat) /yang mana perlu digantikan dengan kata hubung yang sesuai.

Jika anda menulis ayat tanya, pastikan anda meletakkan tanda soal (?).

20. Kesalahan pengejaan kata majmuk. Ibubapa sepatutnya ibu bapa, semulajadi sepatutnya semula jadi.

21. Penggunaan kata hubung ”tambahan pula” pada pangkal perenggan. “tambahan pula” tidak digunakan untuk isi baharu.

Kesimpulannya:
Anda perlu berhati-hati semasa menulis. Sila buat semakan tatabahasa apabila selesai menulis karangan. Ketelitian anda amat dihargai. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh. Penulisan karangan memerlukan kemahiran. Kemahiran perlu diasah dengan latihan yang mencukupi. Ingatlah, penulisan karangan tidak boleh dipelajari secara IMAGINASI.

Daripada rangka menjadi karangan


Rangka Karangan


1. Pendahuluan

2. Isi
3. Isi
4. Isi
5. Isi
Penutup

Rajah 1: Rangka Karangan




 Karangan


Perenggan Pendahuluan

Perenggan Isi
Perenggan  Isi
Perenggan  Isi
Perenggan Isi
Penutup

Rajah 2: Gambaran keseluruhan karangan lengkap



Rajah 1 adalah gambaran sebuah rangka karangan, manakala rajah 2 ialah karangan yang lengkap. Jelas dapat dilihat bahawa, pertalian antara karangan yang lengkap dengan rangka amat rapat. Rangka dapat menggambarkan susunan karangan keseluruhannya dan karangan yang lengkap itu pula terhasil daripada rangka perancangan baik.

      Pengembangan rangka bermula dengan pendahuluan. Kemudian isi-isi penting dikembangkan dalam perenggan-perenggan isi. Jadi, konsep perenggan sebenarnya berkaitan dengan adanya sesuatu isi atau maklumat tertentu yang perlu dihuraikan atau dibincangkan. Setiap isi penting sebaik-baiknya ditulis dalam satu perenggan yang lengkap dengan penyataan isi penting, huraian atau perbahasan serta contoh dan bahan sokongan yang lain. Secara teorinya, jika ada lima isi penting yang dirancang untuk dikemukakan, maka harus ada lima perenggan isi yang dihasilkan, tidak termasuk perenggan pendahuluan dan perenggan penutup (Awang Sariyan: 2004: 86).

           Karangan yang dihasilkan tanpa perancangan dan ditulis menurut apa-apa sahaja yang terlintas dalam ingatan tidak akan memenuhi bentuk dan susunan karangan yang baik. Isi-isi yang dibincangkan tidak tersusun, melompat daripada satu isi kepada satu isi tanpa jalinan yang jelas dan kemas dan tidak jarang diulang dalam perenggan yang lain.

           Tahap pemahaman yang betul tentang konsep perenggan pula, banyak sekali karangan yang dihasilkan tidak menempatkan isi-isi penting dalam perenggan-perenggan yang tersendiri. Sering kali terjadi bahawa, satu perenggan boleh berisi lebih daripada satu isi penting. Hal ini demikian kerana penulis tidak memahami  bahawa satu perenggan sepatutnya berisi satu isi penting sahaja, lengkap dengan huraian, perbahasan dan contoh. Jalinan semua perenggan dalam karangan akan dapat menggambarkan keseluruhan persoalan dan aspek yang berkaitan dengan tajuk karangan.

        Perenggan-perenggan dalam karangan dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup. Kewujudan ketiga-tiga perenggan ini dapat dibandingkan dengan tiga bahagian penting pada tubuh manusia. Perenggan pendahuluan adalah laksana kepala, sementara perenggan-perenggan isi laksana badan dan perenggan penutup umpama kaki. Tanpa salah satu bahagian itu, tidak sempurnalah jasad manusia. Demikianlah juga, tanpa salah satu perenggan yang disebutkan itu, tidak lengkaplah binaan karangan. 
                      

Kepentingan Rangka Karangan


1-      Isi karangan dapat dihuraikan secara tersusun mengikut tingkat.
2-      Isi karangan dapat dihuraikan secara tersusun menurut urutan yang logik. Contohnya, isi tentang sebab musabab sesuatu hal atau masalah harus dihuraikan lebih awal daripada isi tentang kesan atau cara untuk mengatasi masalah itu.
3-      Penulisan karangan menjadi lebih lancar kerana fikiran tidak terganggu akibat memikirkan isi karangan ketika sedang menulis. Jika sambil menulis anda memikirkan tentang fakta yang hendak ditulis,  fikiran yang ingin anda lahirkan menjadi kabur dan tidak keruan.
4-      Pengulangan isi atau fakta dapat dielakkan kerana anda akan menulis berpandukan rangka karangan
5-      Pembahagian kata bagi setiap isi menjadi lebih mudah dan seimbang menurut tingkat pentingnya sesuatu isi.



Cara Merangka Karangan

Contoh 1 :

“Ceritakan satu peristiwa yang mengerikan atau menyedihkan yang tidak dapat anda lupakan.”

Kehendak soalan:
Karangan yang mesti anda tulis haruslah bersifat imaginatif dan kreatif.  Tumpukan karangan anda kepada satu peristiwa yang menyedihkan atau mengerikan. Tumpukan karangan anda kepada satu peristiwa sahaja, sama ada menyedihkan atau yang mengerikan. Elakkan penceritaan beberapa peristiwa yang lebih kurang sama pentingnya. Jika tidak, anda dianggap gagal untuk memahami arahan soalan. Tambahan pula karangan yang anda tulis tidak akan dapat menggambarkan satu peristiwa yang betul-betul berkesan dan tidak dapat menceritakan peristiwa-peristiwaz lain yang merupakan kesan atau pertalian daripada peristiwa besar itu. Tentu sekali anda harus berbuat demikian. Anda tidak boleh menceritakan lebih daripada satu peristiwa besar.

Skop Penceritaan:
Anda bebas memilih peristiwa apa sahaja, baik yang benar-benar anda alami atau merupakan imaginasi anda sahaja. Seharusnya cerita itu mesti munasabah dan menimbulkan kesan ‘menyedihkan’ atau ‘mengerikan’ kepada pembaca (dalam konteks peperiksaan, pemeriksalah pembaca karangan anda).

Rangka Karangan:
Rangka karangan jenis ini tidaklah sama dengan rangka karangan jenis yang lain. Anda hanya perlu membuat rangka plot sebagai panduan menulis karangan anda. Plot ialah rentetan peristiwa yang menuju ke kemuncak cerita atau klimaks dan diakhiri dengan penyelesaian.

Contoh 2 :
“Masalah disiplin dalam kalangan remaja berpunca daripada didikan dan asuhan keluarga yang tidak sempurna. Setujukah anda dengan pendapat ini?”

Isu/Tema:
Masalah disiplin pelajar

Kehendak soalan:
Anda diminta untuk memberikan pandangan tentang benar atau tidak pendapat yang dikemukakan dalam soalan tersebut. Anda boleh bersetuju, tidak bersetuju, atau bersetuju daripada satu segi dengan memberikan alasan yang jitu.

Skop Perbincangan:
Jika anda hanya menghuraikan berdasarkan faktor didikan dan asuhan keluarga sahaja, pandangan anda tidak kukuh. Soalan ini sebenarnya bertujuan untuk menguji sejauh mana mendalamnya dan meluasnya pengetahuan anda tentang faktor berlakunya masalah disiplin dalam kalangan remaja. Jika pembacaan anda meluas, anda dengan segera menolak pendapat bahawa faktor didikan dan asuhan keluargalah satu-satunya yang menyebabkan masalah disiplin dalam kalangan remaja. Anda boleh membuat persetujuan, tetapi dengan menjelaskan bahawa bukan itu sahaja satu-satunya faktor yang ada. Oleh sebab itu, huraikanlah juga faktor lain seperti faktor persekitaran, rakan sebaya, media dan perubahan nilai masyarakat.

Contoh Rangka Karangan:


            Pendahuluan

                  Isi 1 : Faktor didikan Keluarga
                  Isi 2 : Faktor persekitaran
                  Isi 3 : Faktor rakan sebaya
                  Isi 4 : Faktor media
                  Isi 5 : Pendirian anda


             Penutup

Kepentingan Menulis

Hasil tulisan merupakan salah satu bentuk wacana tulisan yang menjadi wadah penyampaian ilmu kepada pembaca dan penerima mesej. Oleh itu, kegiatan menulis merupakan satu kepentingan yang menjadi keutamaan kepada penulis dan pembaca untuk menyampai serta menerima mesej. Secara khususnya, terdapat beberapa kepentingan menulis yang memerlukan penyataan kehendak, fikiran dan pendapat yang dizahirkan dalam bentuk tulisan.

Pertamanya, kegiatan menulis menjadi wadah pemerolehan dan penyebaran ilmu. Bahan bertulis ini menjadi rakaman bentuk komunikasi bertulis yang mengandungi pelbagai sumber maklumat yang boleh dijadikan perkongsian bersama. Contohnya, seseorang yang ingin mendapatkan bahan maklumat ilmiah, maka penggunaan bahan bertulis akan menjadi sebagai bahan rujukan dan panduan untuk memperoleh ilmu tersebut.

Selain itu, penerima serta penyampai mesej amat memerlukan pemerolehan maklumat serta fakta daripada bahan bertulis. Bahan bertulis ini akan menjadi sumber rujukan dan bukti yang menyatakan tentang sesuatu maklumat atau fakta penting yang perlu diketahui. Contohnya, dalam akhbar atau majalah, penyampaan berita semasa serta maklumat-maklumat seperti kesihatan, ekonomi dan sebagainya menjadi santapan pembaca yang ingin mendapatkan maklumat serta fakta mengenainya.

Seterusnya, bahan bertulis juga menjadi satu bentuk komunikasi tulisan yang penting untuk menyampaikan tentang sesuatu perkara atau maklumat. Dengan adanya bahan bertulis, maka komunikasi tulisan ini dapat menjadi penghubung antara dua pihak secara langsung atau tidak langsung. Misalnya, jika seseorang ingin menulis surat aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan tentang kerosakan tertentu di kawasan kediaman kita, maka bahan bertulis itu menjadi wadah kepada kita untuk menyampaikan hasrat serta aduan tersebut.

Sila Klik Pautan di Bawah

 Cara Merangka Karangan dalam Bentuk Peta Minda

Thursday, 1 December 2011

Membina Perenggan yang Berstruktur


Cara membina perenggan penghubung atau perenggan isi supaya terhasil wacana yang berstruktur :
  •         Perlulah diketahui binaan atau struktur perenggan itu
  •         Terdapat 2 bahagian penting dalam sesebuah perenggan, iaitu:
  1. Isi penting yang hendak dikemukakan dalam perenggan berkenaan. Isi penting ini dalam bentuk ayat yang lengkap disebut sebagai judul.
  2. Maklumat atau fakta sokongan yang mengukuhkan isi penting tadi. Maklumat itu boleh jadi data, huraian, bahasan, perbandingan dan sebagainya. Pemberian ‘contoh’ merupakan satu lagi unsur yang dapat mengukuhkan isi penting.


Binaan Sebuah Karangan

Perenggan Pendahuluan  }  KEPALA

                                                     Perenggan isi 1>

                                                     Perenggan isi 2>

                                                     Perenggan isi 3>   BADAN

                                                     Perenggan isi 4>

                                                     Perenggan isi 5>

                                              Perenggan Penutup } KAKI



Binaan perenggan yang lengkap dan utuh dapat digambarkan seperti berikut:

Binaan Perenggan Penghubung


ISI PENTING
(Ayat Judul)

BAHAN SOKONGAN

(Pengembangan Isi)


  •  Setiap perenggan penghubung dapat menonjolkan sesuatu isi penting.
  • Menggariskan isi-isi penting dalam bentuk rangka karangan adalah antara langkah awal dalam     proses mengarang
  • Isi-isi yang telah digariskan itulah yang perlu dikembangkan menjadi perenggan-perenggan
  • Setiap isi utama dikembangkan dalam satu perenggan, lengkap dengan isi-isi sokongan dan contoh.
  • Elakkan penggabungan dua atau lebih daripada dua isi utama dalam satu perenggan. Mengapa?  
  • Jawapannya ialah perenggan itu pasti kehilangan fokus dan pembaca menjadi keliru tentang isi manakah yang hendak ditekankan oleh penulis dalam perenggan tersebut.

 Contoh :

“Kaedah kaunseling ini bermula dengan pembentukan kelompok yang melibatkan pelajar-pelajar yang telah dikenal pasti. Sebaik-baiknya, setiap kumpulan hendaklah terdiri daripada pelajar yang menghadapi masalah disiplin, ponteng sekolah serta yang menunjukkan sikap tidak prihatin terhadap pelajaran.”

Berikut merupakan rajah binaan perenggan bagi petikan di atas :

AYAT JUDUL

(Isi Penting)

Kaedah kaunseling ini bermula dengan pembentukan kelompok yang melibatkan pelajar-pelajar yang telah dikenal pasti



BAHAN SOKONGAN
(Pengembangan Isi)


Sebaik-baiknya, setiap kumpulan hendaklah terdiri daripada pelajar yang menghadapi masalah disiplin, ponteng sekolah serta yang menunjukkan sikap tidak prihatin terhadap pelajaran.